Sekolahku Syurgaku

SEJARAH SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN CONVENT SENTUL, KUALA LUMPUR

Pada 5 Januari 1940, Mother Superior Mother St.Adele dari Convent Bukit Nanas, mengisytiharkan penubuhan sebuah sekolah baru, the Convent Of The Holy Infant Jesus di Sentul, Kuala Lumpur. Bangunan tersebut yang terletak bersebelahan dengan SRJK Tamil St.Joseph dan Gereja St.Joseph siap dibina dalam masa 6 bulan. Sekolah baru ini diwujudkan sebagai memenuhi hasrat pekerja kereta api mengadakan sekolah Inggeris bagi anak perempuan mereka. Oleh sebab permintaan pendidikan Inggeris pada masa itu bagi anak-anak perempuan kian bertambah, Convent Bukit Nanas telah mengambil keputusan untuk membuka sebuah lagi cawangan sekolah convent bagi memenuhi keperluan ini.
Pada mulanya, Convent Sentul mempunyai 8 buah bilik darjah dan sebuah bilik Sains Rumah Tangga. Murid-muridnya berjumlah 347 orang, terdiri daripada murid-murid Convent Bukit Nanas dan Sekolah Methodist Kuala Lumpur. Sekolah ini digolongkan ke dalam sekolah bantuan modal kerajaan dengan kelulusan pihak berkuasa pendidikan. Pengetua yang pertama ialah Sr. St. Elizabeth yang mentadbir sekolah ini dari tahun 1940-1945. Beliau dan rahib-rahib yang lain tinggal di Bukit Nanas dan berulang alik ke Sentul setiap hari untuk mengajar.
Apabila tercetusnya Perang Dunia Kedua, sekolah ini ditutup dan semua bilik darjah digunakan sebagai pusat pertolongan cemas. Walau bagaimanapun, pada tahun 1942, pihak berkuasa Jepun mengarahkan sekolah ini dijadikan sekolah belajar Bahasa Jepun sehingga tahun 1945. Walaupun dalam zaman perang dan hampir separuh kawasan Sentul musnah akibat gegaran bom yang kuat, tetapi bangunan sekolah ini tidak terjejas kecuali cermin-cermin tingkap sahaja yang pecah.
Selepas perang, semua rahib kembali untuk mengajar Bahasa Inggeris pada bulan Ogos !945. Keamanan membawa nafas baru kepada pendidikan dan jumlah murid semakin bertambah. Zaman perang mengakibatkan perjalanan sekolah tergendala. Oleh itu, terdapat murid-murid yang lebih umur dan ini menyebabkan rahib-rahib terpaksa menghadapi tugas menilai pencapaian pembelajaran pada pelbagai tahap. Akhirnya sebahagian daripada mereka terpaksa dinaikkan kepada dua kenaikan darjah dan ada pula yang mendapat tiga kenaikan.
Sr. St. Pius ialah pengetua sekolah ini dari tahun 1946-1953. Beliau merupakan seorang yang bertanggungjawab memulihkan keadaan sekolah selepas perang. Pada tahun 1946, Mother Superior General dari Perancis telah melawat ke sekolah ini dan murid-murid mengadakan satu konsert besar-besaran bagi meraikannya. Oleh sebab beliau tidak menggunakan Bahasa Inggeris dalam pertuturannya, acara juga diadakan dalam Bahasa Perancis.
Pada tahun 1953, satu lagi bangunan tambahan dirancang dan menjadi kenyataan pada tahun 1955, apabila 8 buah kelas, sebuah makmal sains dan sebuah dewan yang selesa dibina. Sr. St. Elizabeth ialah pengetua sekolah ini dari tahun 1954-1957 dan diikuti oleh Sr. St. Finbart antara tahun 1957-1958.
Di bawah pentadbiran Rev.Mother St.Martha dalam tahun 1959-1964, lahirlah satu sejarah baru bagi Convent Sentul apabila dipisahkan daripada Convent Bukit Nanas. Convent Sentul mempunyai Rev. Mothernya sendiri dan menjadi tempat penginapan bagi Rev. Mother St.Martha dan 7 orang sister yang lain. Mereka mengubah suai bilik-bilik darjah untuk dijadikan tempat tinggal.
Pada tahun 1960, makmal sains kedua telah dibina dengan cara mengubah suai satu daripada bilik darjah di sebelah atas dewan. Dalam tahun itu juga, kelas Sijil Persekolahan pertama dimulakan. Sebelum itu, murid-murid meneruskan pendidikan menengah atas mereka di Convent Bukit Nanas.
Pada tahun 1970, kelas aliran sains tulen yang pertama bermula. Oleh itu, sebuah lagi makmal sains dibina pada tahun 1973. Pada tahun 1977, lagu sekolah telah dicipta oleh murid-murid sekolah ini, yang terdiri daripada Pauline Almeida, Yap Swee Yoke dan Sing Yee Ping. Pada tahun 1978, sedikit penambahan bangunan dilakukan di bahagian hujung perpustakaan atas biayaan pungutan walkathon PIBG sekolah ini. Pada tahun 2009, terdapat beberapa pengubahsuaian dan penambahbaikan dibuat demi kemaslahatan warga sekolah sejajar dengan pertambahan bilangan guru.
Sehingga ke hari ini, SMKCS mempunyai jumlah murid seramai 1094 orang terdiri daripada murid-murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dengan jumlah bilik darjah sebanyak 18 buah dengan sebuah Bilik Masakan, Bilik Jahitan, Bilik Guru, Bilik Seni, Bengkel Kemahiran Hidup, Makmal Komputer, Kantin, Dewan, Perpustakaan, Bilik Akses Kendiri, Bilik Alat Pandang Dengar merangkap Bilik Mesyuarat, Bilik Gerakan, Bilik Rawatan dan tiga buah Makmal Sains. Semoga SMKCS akan terus bergemerlapan cahayanya menyinari masyarakat Sentul dan Malaysia tercinta.…